Kamis, 25 November 2010

Syaikh Ma'ruf al-Karkhi


Syaikh Ma'ruf al-Karkhi QS atau nama penuhnya Abu Mahfudz Ma'ruf bin Fairuz al-Karkhi adalah seorang wali besar yang dimakamkan di Kota Baghdad (di sebelah adalah foto makam beliau). Habib Ahmad bin Zain al-Habsyi dalam "Syarhul 'Ainiyyah" halaman 64 - 67 menyebut antara lain:-

"Beliau adalah seorang syaikh besar yang mustajab doanya, penduduk Baghdad beristisqa' dengan kuburnya (yakni bertawassul dengan beliau untuk memohon Allah menurunkan hujan) dan menyatakan bahawa kuburnya itu adalah tiryaaq mujarrab (penawar yang mujarrab)..... Sesiapa yang ada hajat kepada Allah, maka berdoalah kepada Allah di sisi kuburnya (yakni kubur Syaikh Ma'ruf), sesungguhnya Allah akan mengabulkan permohonannya. Dan sebahagian ulama menyatakan bahawa kubur Ma'ruf adalah tiryaaq (penawar) yang mujarrab (sebagai sebab) untuk menunaikan segala hajat."

Habib Ahmad bin Zain al-Habsyi cuma mengutip pernyataan para ulama sebelum beliau mengenai keutamaan Syaikh Ma'ruf, antaranya sebagaimana yang disebut oleh guru beliau sendiri iaitu al-Habib 'Abdullah bin 'Alawi bin Muhammad al-Haddad.

Maka telah menyebut al-Imam al-Quthub al-Habib 'Abdullah bin 'Alawi bin Muhammad al-Haddad rahimahumUllah dalam karya beliau "Sabilul Iddikar" halaman 64 sebagai berikut:-
"Demikian pula apabila menziarahi kubur-kubur para sholihin maka perbanyakkanlah berdoa di sisinya kerana di antara mereka ada yang Allah jadikan doa di sisi kuburnya mustajab. Perkara seumpama ini mujarrab sehingga penduduk Baghdad menamakan kubur as-Sayyid al-Imam Musa bin al-Imam Ja'far ash-Shoodiq sebagai "at-Tiryaaq al-Mujarrab", iaitu kerana mustajabnya segala doa dan jadi sebab tersingkapnya segala keperluan. Dan demikianlah pula dengan kubur Ma'ruf al-Karkhi dinamakan sedemikian juga dan adalah kuburnya di Baghdad juga."
Rasanya sejarah hidup Syaikh Ma'ruf telah dikenali ramai. Di sini kita bawakan sekelumit mengenai tawadhu` dan khumulnya beliau. Diceritakan bahawa pada satu hari Syaikh Ma'ruf sedang berpuasa sunnat. Tiba-tiba beliau mendengar seorang saudagar berteriak dengan katanya: "Semoga Allah merahmati orang yang sudi meminum airku ini." Mendengar suara saudagar tersebut, Syaikh Ma'ruf telah menghampirinya dan meminum air yang diberikan oleh si saudagar tersebut, walaupun sebelumnya beliau berpuasa. Murid-murid beliau kehairanan dengan tindakan Syaikh tersebut, lalu ada yang bertanya: "Bukankah tuan sedang berpuasa?" Syaikh Ma'ruf al-Karkhi menjawab: "Ya, tetapi aku berbuka dan meminum airnya kerana ingin termasuk dalam doanya (yakni ingin memperolehi doa rahmatnya tadi)."

Tidak ada komentar:

Posting Komentar